PORT DICKSON - Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku salah atas pertuduhan menyembunyikan wang RM25,000, tahun lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh Alif Najmi Marzuki, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menolong menyembunyikan wang RM25,000 yang dimasukkan oleh seorang individu ke dalam akaun banknya dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak tertuduh.
Sehubungan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, dalam kes berkenaan, mangsa membuat bayaran ke dalam beberapa akaun lain termasuk akaun tertuduh setelah diperdaya oleh individu menyamar daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendakwa mangsa ada mencuri bekalan elektrik.