Padah miliki alat komunikasi tidak berdaftar

Iklan
Sebuah bot nelayan ditahan kerana memiliki alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 2.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, di sini, pada Isnin. Alat komunikasi tidak berdaftar yang dikesan digunakan sebuah bot nelayan di kedudukan sekitar 2.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, di sini, pada Isnin.

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana memiliki alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 2.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, di sini, pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan bot nelayan tempatan dilakukan pada jam 6.25 petang oleh bot peronda Perkasa 1224 milik Maritim Malaysia semasa rondaan khas Op Mardof di sekitar perairan Kuala Kedah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan dalam perjalanan menuju ke laut terbabit memiliki satu alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Susulan itu, bot itu ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan tanpa memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya.

Iklan

"Bot terbabit juga didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen pemilikan alat perhubungan komunikasi tanpa kelulusan bertulis daripada agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noor Azreyanti berkata, bot bersama seorang tekong dan tiga kru warga Thailand itu ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Iklan

Beliau menambah, kes akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Akta Perikanan 1985.

Katanya, Maritim Malaysia terus komited dan menggandakan usaha dalam melakukan operasi dan pemantauan di sepanjang perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh dilakukan dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.