PASIR MAS - Mangsa yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra ke dalam Sungai Kelantan di sini pada Isnin sempat menghubungi bapa mentua dan meminta untuk mengambil kereta di lokasi kejadian.
Norhisyam Ismail, 43, memaklumkan kepada bapa mentuanya kereta yang dinaiki mengalami kerosakan.
Abang mangsa, Sukardi, 47, berkata, sejurus tiba di lokasi, bapa mentua mendapati adiknya Norhisyam sudah tiada.
"Saya dimaklumkan sebelum kejadian ada saksi yang sempat melihat adik terjatuh ke dalam sungai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Menurut Sukardi yang tinggal di Kedah, dia terus mengambil penerbangan pulang ke Kelantan apabila mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa Norhisyam.
Ujarnya, dia mengetahui tentang perkara tersebut melalui Facebook dan mengecam itu adiknya melalui kereta.
Dia memberitahu, mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik serta mempunyai empat orang anak.
"Norhisyam merupakan seorang ahli perniagaan dan tinggal di Kota Bharu.
"Dalam pengetahuan saya, adik tidak mempunyai masalah kesihatan atau penyakit lain," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin memberitahu, Unit Anjing Pengesan (K9) akan digerakkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ujar beliau, SAR yang masuk hari ke dua akan diteruskan sehingga mangsa ditemukan.
"Hari ini kita akan memperluaskan lagi kawasan carian dan berharap mangsa akan ditemukan secepat mungkin," katanya.
Sinar Harian Online melaporkan seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra ke dalam Sungai Kelantan di sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 7.48 malam dan mangsa dikenali sebagai Norhisyam.
"Sejurus menerima panggilan kecemasan, seramai 18 orang anggota termasuk tujuh anggota PPDA (Pasukan Penyelamat Di Air) bergegas ke lokasi kejadian," katanya.