SKUAD Harimau Malaya enggan mengibar bendera putih terlalu awal dalam saingan Piala Asia selepas dibelasah 0-4 oleh Jordan dalam aksi Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Doha pada awal pagi Selasa.
Pengendali skuad negara, Kim Pan-gon berkata, peluang untuk para pemainnya masih ada dan yakin mampu untuk melakukan sesuatu dalam dua lagi aksi menentang Bahrain dan Korea Selatan.
Menurutnya, Harimau Malaya belajar banyak perkara dalam perlawanan menentang Jordan tersebut dan akan memperbaiki persembahan menjelang perlawanan akan datang.
"Tiada siapa tahu. Kami masih ada dua perlawanan. Sudah tentu Bahrain dan Korea Selatan berada pada tahap berbeza.
"Tetapi, kita tetap ada peluang. Kami perlu mempelajari sesuatu dan memperbaiki kesilapan untuk lebih bersedia pada perlawanan kedua.
"Perlawanan menentang Bahrain menjadi perlawanan penting untuk kami. Mereka juga akan melihat perlawanan ini penting dan kami akan hadir dengan persembahan yang lebih baik daripada perlawanan ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Skuad negara yang berada dalam misi untuk mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia kali ini menerima tamparan apabila mudah dijinakkan Jordan yang berada di ranking yang jauh lebih baik iaitu di kedudukan ke-87 dunia.
Dua gol masing-masing daripada Mahmoud Al-Mardi dan Mousa Al-Taamari meranapkan harapan permulaan cemerlang skuad kendalian Pan-gon itu selepas 43 tahun berjaya layak secara merit ke kejohanan tertinggi Asia.