PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempertahankan taktikal yang digunakannya ketika tunduk kepada Jordan 0-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Doha pada awal pagi Selasa.
Taktikal pengendali kelahiran Korea Selatan itu dipertikaikan selepas hanya menggunakan tiga pertahanan untuk menghadapi kekuatan serangan pasukan di ranking ke-87 dunia itu yang menyaksikan gawang negara bolos tiga kali pada separuh masa pertama.
Iklan
Iklan
Menurut Pan-gon, beliau boleh menggunakan taktikal bertahan, namun Piala Asia adalah medan terbaik untuk menguji apa yang telah direncana sejak dua tahun lalu.
"Kami melakukan persiapan dengan berani dan melihat ke hadapan untuk menyerang. Tetapi, Jordan jauh lebih kuat daripada apa yang kami sangka.
"Kami merancang sesuatu tetapi ia tidak berhasil. Kami boleh bermain dengan lebih bertahan, tetapi ia tidak membantu untuk masa depan. Kami mahu mencuba apa yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu. Ini adalah pengajaran terbaik," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, dua gol masing-masing daripada Mahmoud Al-Mardi dan Mousa Al-Taamari meranapkan harapan permulaan cemerlang skuad kendalian Pan-gon itu selepas 43 tahun berjaya layak secara merit ke kejohanan tertinggi Asia.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan Bahrain pada Sabtu sebelum bertemu Korea Selatan lima hari selepas itu.