KOTA KINABALU - Kanak-kanak warga asing berusia 10 tahun antara individu yang ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes samun membabitkan pelancong di sekitar pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
Kanak-kanak-kanak lelaki tersebut ditahan bersama tiga lagi suspek lelaki dewasa yang juga warga asing menerusi operasi yang dijalankan di pusat bandar pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tangkapan dibuat susulan satu kes samun warga China di depan sebuah bank di Jalan Gaya.
"Dua suspek yang ditahan turut terlibat dalam kes pecah cermin kereta sekitar Kota Kinabalu.
"Selain itu, dua lagi suspek ditahan terlibat dengan kes samun membabitkan mangsa pelancong dari Sarawak di hadapan pasar kraftangan di pusat bandar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum itu difahamkan, kesemua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Susulan daripada tangkapan itu, polis turut berjaya merampas beberapa barang disyaki untuk kegunaan samun iaitu pisau, pemutar skru dan tukul selain beberapa barangan hasil daripada aktiviti samun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan.