IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan mempergiatkan pemantauan di kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan tersebut bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong.
Jelas beliau, sebarang laporan yang diterima walaupun tiada aduan rasmi turut diberikan perhatian dan diambil tindakan.
"Contohnya baru-baru ini kita ambil tindakan di Pulau Pangkor. Apabila ada rungutan pelancong mengenai harga makanan yang terlalu tinggi, kita terus ambil tindakan dan kes dijangka ada tindakan mahkamah," katanya kepada pemberita sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak, Kawasan Perusahaan IGB di sini pada Selasa.
Sementara itu Kamalludin turut mengingatkan peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga apabila musim perayaan.
Jelasnya, sempena Tahun Baharu Cina yang akan tiba, pemantauan turut dibuat bagi memastikan harga serta bekalan barang-barang dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata, sehingga kini bekalan barangan keperluan sempena perayaan Tahun Baharu Cina mudah diperoleh pelanggan selain kerajaan akan turut melancarkan skim kawalan harga musim perayaan dalam masa terdekat.
"Saya ingatkan jangan ambil kesempatan apabila adanya musim-musim perayaan atau sempena Tahun Melawat Perak.
"Tindakan mengambil kesempatan ini merupakan salah laku kesalahan etika daripada peniaga yang boleh diambil tindakan," katanya.
Pada 7 Januari lalu, KPDN Perak dan KPDN Cawangan Manjung mengambil tindakan ke atas sebuah premis yang tular di media sosial menjual makanan hasil laut pada harga yang tinggi di Teluk Nipah, Pulau Pangkor.
Sehubungan itu, premis tersebut diberikan satu Notis Pengesahan Maklumat Barang dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.