PUTRAJAYA - Sinar Harian menerima penghargaan daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) atas usaha agensi media itu mempromosi aktiviti serta berita berkaitan perpaduan.
Sijil penghargaan Rakan Media Perpaduan diserahkan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang kepada Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Junhairi berkata, akhbar terbitan Kumpulan Media Karangkraf itu sentiasa menyokong usaha kementerian berkenaan untuk melaksanakan agenda memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang agama, kaum dan bangsa di negara ini.
"Tanpa perpaduan, sukar untuk Malaysia bergerak jauh ke hadapan dan menjadi sebuah negara yang berjaya.
"Cabaran semasa turut menuntut kita bersama berganding bahu untuk berhadapan dengan apa sahaja rintangan yang di hadapan," katanya.
Sementara itu, Aaron dalam ucapannya memaklumkan, fungsi KPN kini diperkukuhkan dengan dua agensi baharu iaitu Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang.
Penyertaan agensi tersebut ujarnya, memberikan kelebihan kepada kementerian itu untuk mencapai tiga objektif Dasar Perpaduan Negara.
"Tiga perkara itu perlu diberi perhatian khusus dalam melaksanakan inisiatif antaranya mengukuhkan perpaduan serta integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, toleransi dan saling menghormati serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai, mengamalkan perpaduan," ujarnya.