Polis tunggu keputusan patalogi libat 4 anggota proses, edar ketum

Iklan
Allaudeen - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis sedang menunggu keputusan patalogi tujuh individu termasuk empat anggota yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar air ketum di sebuah rumah di Brickfields, di sini pada 4 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, keputusan tersebut dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keputusan patalogi itu akan digunakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat pertuduhan ke atas suspek-suspek terlibat.

"Kita telah menghantar laporan berhubung kes ini kepada Jabatan Kimia bagi dijalankan ujian.

Iklan

"Ia dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, seterusnya digunakan untuk membuat pertuduhan terhadap suspek-suspek terlibat," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Allaudeen (duduk belakang, empat dari kanan) meluangkan masa bersama pelajar SK Lelaki Jalan Batu menyaksikan persembahan anjing polis daripada Unit K9 semasa program Back To School pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Back To School anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Jalan Batu, dekat sini.

Iklan

Hadir sama, Guru Besar SK Lelaki Jalan Batu, Roslinawati Yusoff dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Soffan Hafizal Md Yusuf.

Mengulas lanjut kes ketum tersebut, Allaudeen berkata, tindakan tatatertib telah diambil ke atas empat anggota terlibat dan kesemuanya telah dikenakan tindakan ditahan bekerja.

"Empat anggota ini dikenakan tahan tugas, manakala dua lagi anggota yang turut ditahan sebelum ini telah dibebaskan setelah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, tujuh individu termasuk enam anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar air ketum.

Dalam serbuan jam 2.15 pagi pada 4 Januari lalu, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 38 tahun yang juga anggota polis di sebuah rumah di Brickfields, dekat sini.