Sejuk melampau tambah derita pelarian Palestin di Rafah

Iklan
Kanak-kanak Palestin duduk mengelilingi unggun api di kem sementara di barat Rafah berhampiran sempadan Mesir. Foto AFP

GAZA - Penduduk Gaza yang kini berada di Rafah dalam keadaan sehelai sepinggang selepas dipaksa berpindah akibat serangan Israel, bukan saja berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan ubatan tetapi turut bergelut dengan ancaman cuaca sejuk melampau, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam sebuah khemah yang diperbuat daripada kain dan plastik di tengah-tengah padang pasir yang terletak di sempadan selatan Semenanjung Gaza, Palestin dan Mesir itu, Ismail Nubhan duduk bersama anak-anak dan cucu-cucunya mengelilingi unggun api yang dinyalakan dengan kepingan plastik dan kayu untuk menghangatkan badan.

Keadaan kem sementara untuk penduduk Palestin di barat Rafah berhampiran sempadan Mesir. Foto AFP

Iklan
Iklan

Nubhan, 60, berkata:"Dua hari lepas angin sangat kencang. Sepanjang malam kami berjaga memastikan tali nilon khemah tidak putus. Kami tinggal di padang pasir, di hadapan ada laut. Sejuknya melampau, malam lagi berganda sejuk."

Khemah yang dikongsi bersama 28 individu itu turut diselubungi asap hitam berbau plastik yang sangat menusuk hidung.

Iklan

Isterinya, Raeda Awad, 50, berkata:"Tanpa api, kami sejuk. Ada api, kami pula terpaksa sedut asap plastik yang menyesakkan dada."

Khemah keluarga ini hanya satu daripada ribuan lagi khemah pelarian yang dibina di selatan Semenanjung Gaza yang kini masih terus dikepung dan diserang Israel.

Kanak-kanak Palestin bermain di atas bukit pasir, menghadap kem sementara di sempadan selatan Semenanjung Gaza, Palestin dan Mesir. Foto AFP

Iklan

Ia terletak ratusan meter dari pantai Laut Mediterranean, barat daya kota Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

Sambil duduk di sebelah cucunya yang kerap batuk, Awad berkata:"Semua kanak-kanak sakit akibat bau asap beracun ini. Mereka batuk berterusan dan hidung berair. Pakaian pula tidak cukup untuk memanaskan badan."

"Selimut memang tidak mencukupi. Setiap tiga orang berkongsi satu selimut...kepingan kayu yang ada untuk menyalakan unggun api pula agak lembap dan memerlukan sekurang-kurangnya empat hari untuk kering,” katanya.

Di khemah lain, Muhammad Kahil, 35, dari utara Gaza, berkata:"Kami tidak ada makanan, air atau pemanas. Tak mustahil kami akan mati kedinginan di sini."

Menurut Haneen Adwan, 31, yang berpindah dari kem Nuseirat di zon tengah Gaza ke Rafah pula tiada sumber haba lain selain api tetapi harga kayu api sangat mahal dan mereka pula tidak mempunyai wang.

"Jadi kami nyalakan api dengan plastik akibatnya inilah... kami pula sesak nafas," jelas ibu kepada enam cahaya mata.

Anaknya Fadi,14, berkata, mereka mesti menyalakan sesuatu jika tidak akan mati kesejukan.

Di khemah berhampiran, Khaled Farjullah, 36, sedang memanaskan badan sambil menyediakan roti untuk enam anaknya termasuk seorang yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

"Di sini, selepas jam 2 pagi tiada siapa yang dapat tidur kerana cuaca ketika itu sangat sejuk. Walau saya letak seribu selimut sekali pun, lantai tanah ini masih akan terasa sangat sejuk dan lembap," katanya.

Penduduk menyediakan makanan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto AFP

Perang genosid yang dilancarkan oleh tentera penceroboh Israel terhadap rakyat palestin di Semenanjung Gaza melalui darat, laut dan udara sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan lebih 24,000 orang dan hampir 70,000 lagi cedera selain kemusnahan teruk pada bangunan dan infrastruktur.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, seramai 1.9 juta orang atau hampir 85 peratus daripada jumlah penduduk Gaza dianggarkan hilang tempat tinggal.

Kenyataan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Program Makanan Antarabangsa (WFP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menegaskan bahawa terdapat keperluan mendesak di Semenanjung Gaza untuk perubahan drastik dalam aliran bantuan kemanusiaan.

Statistik yang diterbitkan oleh Biro Perangkaan Pusat Palestin mendokumenkan sejumlah 290,000 unit bangunan dan infrastruktur di Semenanjung Gaza telah musnah akibat dibom oleh tentera rejim dalam tempoh 100 hari.

Menurut Kementerian Kerja Raya Palestin, lebih satu perempat juta unit rumah telah musnah pada tahap yang berbeza-beza, lebih 35 peratus kawasan bandar lenyap dari muka bumi dan lebih 40 peratus infrastruktur musnah sepenuhnya, termasuk jalan raya, rangkaian air dan sistem kumbahan serta talian elektrik dan komunikasi. - Bernama-WAFA