Penjawat awam didenda RM30,000 salah guna kedudukan, jawatan

Iklan
Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didenda RM30,000 kerana salah guna kedudukan dan jawatan dengan melantik syarikat adiknya sebagai pembekal bagi sembilan kerja pembekalan pada 2018.

MELAKA - Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa atas pertuduhan salah guna kedudukan dan jawatan dengan melantik syarikat adiknya sebagai pembekal bagi sembilan kerja-kerja pembekalan pada 2018.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Ab Hanif Ab Hamid, 43, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan pada prosiding hari ini.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Ab Hanif, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan perkhidmatan pembekalan daripada kerajaan Malaysia untuk syarikat adiknya, Perniagaan Thronez Enterprise yang bernilai keseluruhan RM19,663.50 bagi Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) iaitu pembelian racun (RM5,000), peralatan tandas (RM10,163.50) serta mesin rumput (RM4,500)

Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BAKAS, Pejabat PKD Jasin antara 4 Julai dan 2 November 2018 mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka, Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana ia melibatkan projek kerajaan dan tertuduh adalah penjawat awam manakala peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin merayu hukuman denda minimum tanpa penjara kerana anak guamnya menghidap penyakit saraf kronik serta bakal kehilangan pekerjaan dan pencen.

Iklan

Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan membenarkan permohonan pendakwaan untuk mempertimbang enam lagi pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. - Bernama