PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan laporan yang menyebut beliau akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Dr Maszlee Malik sebagai spekulasi.
"Spekulasi semata- mata," katanya ringkas sambil tersenyum kepada pemberita selepas membentangkan pencapaian Tahun 2019 dan sasaran pencapaian Tahun 2020 Kementerian Luar di sini hari ini.
Hari ini, Penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Saifuddin antara nama yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dan Saifuddin masing-masing berpengalaman sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini.
Maszlee mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan semalam selepas menerajui kementerian itu hampir 20 bulan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Malaysia sudah menjangkakan bantahan China selepas negara mengemukakan penghujahan kepada Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu berhubung tuntutan baki kawasan pelantar benua di Laut China Selatan (Tuntutan Kawasan Batas-batas Pelantar Benua Malaysia Fasa II).
"Kita tidak gentar. Kita akan lakukan sehingga peringkat Timbang Tara," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Terima kasih semua. Jalan terus': Maszlee
Pada 12 Disember lalu, Malaysia telah mengemukakan penghujahan separa bagi memastikan kedaulatan sempadan perairan negara dilindungi dan terpelihara berdasarkan data teknikal serta saintifik yang disertakan.
Menyentuh mengenai sasaran pencapaian kementerian pada tahun ini, Wisma Putra dijangka akan membuka Perwakilan Ke Palestin yang berpusat di Amman, Jordan.
Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang juga akan dibuka semula lanjutan pemulihan hubungan dua hala Malaysia dan Korea Utara.
"Kita harap ia akan dibuka pada suku pertama tahun ini dan Timbalan saya Datuk Marzuki Yahya akan ke Pyongyang bagi bagi tujuan itu," katanya.