Tun M suarakan kebimbangan jika RUU Penggal Tetap diwujudkan

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Penggal Tetap diwujudkan bagi mengekalkan kerajaan mentadbir negara sehingga tamat tempoh.

Antara kebimbangan disuarakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu ialah mengenai keadaan berlaku dalam negara sekiranya ditadbir pemimpin terlibat dengan rasuah, sedangkan tiada tindakan boleh diambil kerana terikat dengan undang-undang.

Iklan
Iklan

"Terdapat pendapat oleh pemimpin negara bahawa apabila sebuah kerajaan ditubuh, ia sepatutnya dibenar memerintah sehingga tamat edahnya. Dengan cara itu kerajaan menjadi stabil.

"Memanglah kestabilan baik untuk negara tetapi apa akan jadi apabila kerajaan dipimpin oleh seorang penjenayah yang secara terbuka mencuri duit dan menyalah guna kuasa kerajaan dengan memasuk dalam tahanan anggota parti lawan.

Iklan

"Apa akan jadi apabila ekonomi rosak teruk sehingga rakyat mati kebuluran?

"Apa akan jadi jika rasuah menjadi-jadi? Sehingga segala urusan dengan kerajaan mengambil masa yang panjang dan bergantung kepada sogokan yang diberi," ujarnya menerusi aplikasi X pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, jika kerajaan sedemikian diberi kuasa untuk kekal mentadbir sehingga tempoh lima tahun, ia dibimbangi menyukarkan proses memulihkan negara yang rosak itu.

Sebaliknya beliau berkata, jika demokrasi berjalan dengan baik, parti kerajaan sendiri boleh menjatuhkan pemimpin penjenayah dan penipu.

"Jika parti tidak jatuhkan pemimpinnya yang perasuah dan penyamun, wakil-wakil rakyat boleh hentikan sokongan kepadanya," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan mencadangkan untuk mewujudkan satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga akhir penggal, dibentangkan di Parlimen.

Menurut Ahmad Zahid, RUU itu penting bagi mengelakkan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 berulang pada masa hadapan.