MBPP pungut 1.4 tan barang lusuh simpan di rumah

Iklan
Pekerja MBPP giat membersihkan kawasan rumah tersebut selepas notis yang diserahkan tidak dipedulikan oleh pemilik premis. Foto Facebook MBPP

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memungut 1.4 tan barang lusuh dari sebuah rumah teres dua tingkat di daerah Timur Laut dalam operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain pada Isnin.

MBPP dalam kenyataannya berkata, operasi itu dijalankan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Polis Diraja Malaysia dan jabatan-jabatan dalaman MBPP selepas notis yang dikeluarkan tidak dihiraukan oleh pemilik premis.

Iklan
Iklan

"Sebuah premis di daerah Timur Laut didapati menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar dengan longgokan sisa barang lusuh.

"Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 82, MBPP telah mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan kepada pemilik premis pada 29 Disember tahun lalu.

Iklan

"Bagaimanapun, pemilik premis tersebut didapati dengan sengaja tidak mengambil sebarang tindakan pembersihan dan masih membiarkan premis beliau dalam keadaan yang meloyakan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebanyak 1.4 tan sampah telah dikutip dari rumah teres dua tingkat di daerah Timur Laut dalam operasi bersepadu pada Isnin. Foto Facebook MBPP

Ujar kenyataan itu lagi, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Iklan

"Sebanyak tiga buah lori telah digunakan untuk tujuan rampasan ini dan dianggarkan berjumlah sebanyak 1.4 tan barang-barang lusuh berjaya dikutip," katanya.

MBPP berkata, penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut turut menemui pembiakan jentik-jentik yang banyak di dalam baldi (massive breeding).

"Tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sedang dipertimbangkan kerana pemilik tidak mematuhi Notis Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 sebanyak dua kali.

"Ia telah mengakibatkan premisnya menjadi tempat pembiakan jentik-jentik yang boleh membawa kepada penyebaran wabak denggi.

"Operasi Bersepadu ini tamat pada jam 11.54 pagi setelah kawasan pekarangan premis telah dibersihkan," katanya.