SHAH ALAM - Kegiatan mengambil benih kerang secara haram dalam radar Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.
Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, dalam tempoh dua tahun iaitu 2022 dan 2023, DOF merekodkan 13 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM25,685 di Selangor, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Melaka.
Menurut Adnan, pihaknya mengambil serius berkenaan keluhan dan aduan pengusaha lot kerang yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan berikutan peningkatan aktiviti pengambilan benih kerang di kawasan-kawasan tapak benih semula jadi kerang dan tapak kerang kultur.
"DOF melarang sebarang aktiviti pengambilan benih kerang termasuk nelayan dan penternak tidak berlesen dengan menggunakan sebarang kaedah termasuk penggunaan bot berenjin rotor (longtail boat) atau menggunakan tangguk tangan menaiki sampan kayu (tongkah).
"Kita memberi amaran keras terhadap individu yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti mengambil anak atau benih kerang secara haram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mengambil benih kerang atau kerang dewasa tanpa suatu lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.
Jelasnya, lesen akan dikeluarkan apabila saiz kerang mencecah 4 milimeter ke atas melalui notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Perikanan Negeri.
"Kesalahan mengambil anak atau benih kerang boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002, Seksyen 3(1) dan Sekyen 4 (1) dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengambil anak kerang atau denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mengambil benih kerang atau kerang dewasa," ujarnya.
Tambah beliau, DOF sentiasa menjalankan pemantauan serta rondaan di laut dan darat bagi mengekang kes kecurian benih kerang.
"Tindakan penguatkuasaan membanteras aktiviti ini akan diadakan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain," katanya.
Kata Adnan lagi, berdasarkan data perangkaan DOF, pendaratan kerang pada tahun 2022 adalah sebanyak 479.47 tan metrik dengan nilai RM4,472,873.45, manakala bagi tahun 2023 merekodkan sebanyak 856.37 tan metrik dengan nilai RM6,811,769.16.
"Jumlah keseluruhan ini melibatkan lapan negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu," katanya.