Abang askar terjun jambatan selamatkan pasangan kekasih

Iklan
Tindakan pantas Koperal Mazlan berjaya menyelamatkan nyawa mangsa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.

GEORGE TOWN - Tentera Darat Malaysia (TDM) menyifatkan kepantasan anggotanya menyelamatkan dua mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini semalam, wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM.

TDM menerusi kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan ketika kejadian itu, Koperal Mazlan Abdul Rahman sedang melalui Jambatan Pulau Pinang dan terjun sejurus terdengar jeritan meminta tolong dari bawah jambatan.

Iklan
Iklan

Beliau yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) turut memberi bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa setelah merapat ke bot berhampiran.

"Sikap berani dan pantas yang ditunjukkan oleh beliau wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM, tahniah dan syabas Koperal Mazlan," menurut kenyataan itu.

Iklan

Media hari ini melaporkan wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang semalam mendakwa ditolak rakan lelakinya ketika mereka sedang bertengkar di hentian jambatan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin dilaporkan berkata, berdasarkan keterangan awal wanita berusia 40 tahun itu mendakwa telah ditolak rakannya berusia 37 tahun tersebut yang juga pegawai kanan polis tetapi bukan bertugas di negeri ini.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, tindakan pantas lelaki berkenaan yang terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa dalam kejadian di Kilometer 2.8 menghala Perai, semalam.

Media melaporkan sebelum terjatuh ke dalam laut, mereka yang menaiki kereta Honda City dipercayai telah bergaduh di kawasan hentian di Jambatan Pulau Pinang. - Bernama