Kenyataan Peguam Negara ada hak henti prosiding tak selaras prinsip telus - C4

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyelar kenyataan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkenaan kuasa Pejabat Peguam Negara (AGC) ada hak untuk memulakan atau menghentikan prosiding.

C4 dalam satu kenyataan berkata, hal berkenaan tidak selaras dengan prinsip teras ketelusan dan tadbir urus yang baik serta menggambarkan pendekatan membimbangkan dalam pelaksanaan pendakwaan.

Iklan
Iklan

"Penting untuk diingatkan bahawa AG (dilantik atas nasihat Perdana Menteri) memegang jawatan PP ex officio. Dalam erti kata lain, seseorang lantikan politik juga diberi kuasa dengan budi bicara umum ke atas kelakuan, kawalan dan hala tuju pendakwaan jenayah.

"Kritikan terhadap keadaan ini telah lama ada kerana terdapat kemungkinan wujud keputusan mengenai pendakwaan terhadap tokoh politik utama boleh dibuat berdasarkan pertimbangan politik,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Terrirudin menegaskan AGC mempunyai hak untuk memulakan atau menghentikan pertuduhan kerana ia termaktub bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pendakwa raya tidak terikat untuk memberi alasan menghentikan kes kepada mana-mana pihak.

Iklan

Tegas beliau, AGC harus diberi ruang untuk melaksanakan fungsinya dengan baik berdasarkan Persekutuan Perlembagaan dan mana-mana undang-undang bertulis tanpa diganggu.

Mengulas lanjut, C4 berkata, pematuhan ketat kepada perkataan jelas peruntukan undang-undang tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk gagal mengambil kira keputusan tidak tipikal.

"Seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah lwn Menteri Luar Negeri, Malaysia, budi bicara luas yang diberikan kepada AG/PP di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan bukanlah tidak terikat atau mutlak.

"Jika keyakinan orang ramai terhadap integriti institusi negara ingin dipertahankan, AG Terrirudin mesti memahami bahawa pandangan beliau adalah bersifat paternalistik dan mengenepikan kepentingan akauntabiliti awam.

"Kekurangan ketelusan secara langsung mengakibatkan penghakisan kepercayaan rakyat, yang harus dielakkan oleh AG dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, C4 turut menggesa kerajaan untuk merangka garis panduan pendakwaan untuk mengemudi kelakuan pendakwa dengan cara adil dan seragam.

Kata kenyataan itu, pendekatan tersebut akan mewujudkan tahap keyakinan orang ramai bahawa keputusan yang dibuat adalah melalui cara adil dan saksama.

Tambah C4, garis panduan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa semua orang perlu dilayan sama rata dalam undang-undang negara tanpa mengira status.