PUTRAJAYA - Pekerja asing dibenar bertukar majikan terutama dalam bidang pertanian dan perladangan bagi memenuhi keperluan sektor berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kaedah tersebut dipersetujui Jawatankuasa Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.
"Itu kaedah kita guna pakai, majikan dah bawa (masuk pekerja asing) kemudian dia tak boleh adakan pekerjaan.
"Opsyen penghantaran pulang (juga) tak boleh kerana apabila kita hantar (pekerja asing pulang), dah masuk kategori buruh paksa dan akan beri kesan kepada 'rating' kita.
"Jawatankuasa dalam dua mesyuarat terdahulu, kertas dibentang Jabatan Tenaga Kerja (Semenanjung Malaysia) membolehkan dibuat proses pertukaran majikan kerana majikan dah bawa masuk dan terang-terang dia tak boleh sediakan pekerjaan.
"Maka kita benarkan pertukaran majikan dibuat membabitkan pekerja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-10 pada Selasa.
Dalam pada itu beliau memaklumkan telah bertemu dengan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi mendapatkan pandangan yang lebih jelas mengenai perkara itu.
"Kita mempunyai 442,000 hektar ladang getah dan Malaysia adalah pengimport bersih, kira-kira 700,000 tan metrik untuk pembuatan sarung tangan dan kondom.
"Kita juga mempunyai kira-kira 5.4 juta hektar ladang kelapa sawit.
"Dalam sektor perladangan, 30 peratus adalah pengait dan mereka perlu lakukan setiap dua minggu.
"Bila kita kira, dua juta pekerja (warga asing di Malaysia) kedua-dua sektor ini menghadapi defisit yang besar,” ujarnya.