Sanusi mohon kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

Iklan
Muhammad Sanusi

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon dua kes menyebut perkataan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Menerusi notis usul yang difailkan pada Isnin, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut memohon kes berkenaan yang ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang, digantung sehingga keputusan permohonan memindahkan prosiding, diketahui terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ini berkata, permohonan dibuat mengikut Seksyen 417 (1) (a), (b) dan (e) Kanun Prosedur Jenayah, kerana perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Menurutnya, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana mahkamah tinggi mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.

Iklan

"Ia sudah pasti suatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di Mahkamah Rendah," katanya.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, pemimpin politik itu didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Iklan

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Oktober tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang menetapkan prosiding kes dijalankan selama 12 hari.

Tarikh-tarikh berkenaan ialah pada Khamis dan Jumaat ini, selain 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari depan.