Usaha bentuk mahasiswa berintegriti, antirasuah

Iklan

SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan jawatankuasa khas semak dan imbang di setiap universiti adalah penting bagi mengekang budaya rasuah dalam kalangan mahasiswa dari peringkat akar umbi.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Muntasir Aznan berkata, ia berupaya membentuk pelajar berintegriti, amanah dan telus dalam menjalankan tanggungjawab sebagai mahasiswa.

Iklan
Iklan

"Pada pandangan saya dengan mewujudkan jawatankuasa khas ini, kita mampu membendung masalah rasuah mahupun salah guna kuasa dalam kalangan mahasiswa.

"Pihak universiti perlu menggalakkan budaya integriti menerusi aktiviti luar kampus yang mampu memupuk jati diri mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada 23 Oktober lalu, seorang pelajar ijazah sarjana sebuah universiti tempatan mengaku bersalah atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,700 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu juga, mahasiswa tersebut turut didakwa menerima suapan bagi memberikan maklumat awal berkaitan projek-projek di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Muntasir berkata, budaya rasuah dalam kalangan universiti melambangkan kecacatan sosioekonomi dalam masyarakat sehingga menjadi norma biasa kepada generasi muda.

Jelasnya, jika perbuatan tersebut terus dijadikan amalan dalam kehidupan, ia akan memberi implikasi buruk terhadap pembangunan negara.

"Kita tidak boleh terus menjadikan budaya ini normal terutama mahasiswa yang merupakan aset kepada negara,” katanya.