JAKARTA - Sejak kebelakangan ini, timbul cakap-cakap mengenai gabungan berpotensi antara Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar atau Cak Imin dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.Perkara itu telah mencetuskan spekulasi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) bakal menyaksikan pusingan kedua setelah tarikh tersebut ditetapkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) minggu lalu.
Anies dan Ganjar dikatakan mempunyai hubungan yang baik setelah kedua-duanya 'mengasak' seorang lagi calon presiden (capres), Prabowo Subianto ketika sesi debat ketiga yang disifatkan kontroversi sehingga menyebabkan 'perang mulut' berterusan antara mereka.
Menurut bekas Gabenor Jawa Tengah itu, komunikasi telah dilakukan dengan pelbagai pihak termasuk dengan Anies-Cak Imin yang membuka ruang untuk kemungkinan gabungan dua paksi tersebut.
Pada Ahad, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Puan Maharani turut membangkitkan hal sama.
"Segala-galanya akan diputuskan selepas 14 Februari. Membangun bangsa harus dilakukan bersama-sama,” katanya.
Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Ahmad Syaikhu juga mengulas tentang kemungkinan menjalinkan kerjasama itu dan sikap keterbukaan mereka.
"Adalah penting membangunkan komunikasi antara pelbagai pihak bagi memastikan Pilpres tidak menjadi pentas untuk pertarungan yang merugikan,” ujarnya.
Ketua Lembaga Pengarah Pasukan Kempen Nasional Prabowo-Gibran (TKN) juga optimis tentang isu itu dan mengakui tentang potensi gabungan dua paksi antara Anies dan Ganjar.
"Namun, saya yakin Prabowo-Giban akan memenangi Pilpres pada pusingan pertama berdasarkan sokongan parti politik sebanyak 45 peratus yang merupakan faktor utama proses pemilihan tersebut,” katanya.
PDI-P dan PKS mustahil bergabung?
Dalam konteks ini, Wakil Presiden (wapres) ke-10 dan 12, Jusuf Kalla (JK) memberikan perspektif tentang fenomena biasa dalam politik yang menyaksikan gabungan baharu yang bergantung kepada susunan pemenang pada pilihan raya.
Menurutnya, keputusan untuk menjalinkan pakatan bergantung penuh kepada parti yang berada pada kedudukan kedua dan ketiga selain komunikasi yang menjadi faktor penentu.
Bagi Pengarah Trias Strategi Politik, Agung Baskoro, gabungan Anies-Ganjar mungkin boleh berlaku pada Pilpres putaran kedua, namun terdapat banyak halangan untuk merealisasikannya.
"Melihat konteks politik semasa, agak mustahil untuk kedua-duanya bergabung. Dalam konteks sejarah politik antara PDI-P dan PKS, ia memerlukan perjuangan yang keras untuk menjalinkan kerjasama,” ujarnya.
Ketika ini, penganalisis percaya Pilpres 2024 akan menyaksikan dua pusingan berdasarkan keputusan kaji selidik yang menunjukkan tiada pasangan calon (paslon) yang memperoleh lebih 50 peratus undi.
Difahamkan, terdapat juga syarat yang menetapkan paslon perlu meraih sekurang-kurangnya 20 peratus di 19 provinsi untuk diisytiharkan sebagai pemenang pada pusingan pertama.
Data terkini gabungan keputusan tinjauan oleh Median, Politika Research & Consulting (PRC) dan Arus Survei Indonesia terhadap kubu kuat Anies dan Ganjar mendapati mereka kekal unggul.
Bagaimanapun, keputusan kaji selidik oleh Lembaga Survei Nasional (LSN), Lembaga Survei Indonesia (LSI) dan Institut Polling menunjukkan kem Prabowo masih cemerlang.
Antara faktor yang perlu diberi perhatian adalah suara sokongan daripada parti gabungan di belakang paslon tersebut.
Data menunjukkan parti gabungan Prabowo lebih unggul dengan sokongan kuat daripada empat parti, manakala lima parti menyokong koalisi Anies-Ganjar.
Merujuk kepada data Pilihan Raya Legislatif (Pileg 2019), gabungan undi koalisi Anies-Ganjar akan menghasilkan 'keuntungan' lebih besar dengan mencecah 71.1 juta undi, manakala pakatan Prabowo mungkin hanya meraih 55.2 juta undi.
Namun, Agung melihat koalisi Anies-Ganjar belum tentu mampu mengalahkan Prabowo pada pusingan kedua kerana split-ticket voting berpotensi berlaku dalam kalangan penyokong gabungan itu.
"Pengundi mereka mungkin akan beralih sokongan kepada Prabowo. Ia tidak mustahil,” jelasnya. - Agensi