SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bagi kawasan perumahan teres selama 13 hari bermula 29 Januari ini.
MBSJ dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan ini akan dilaksanakan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) sehingga 9 Februari depan sempena Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, kutipan sampah pukal terebut hanya melibatkan tilam, perabot lama, dan seumpamanya.
"Ingin ditegaskan bahawa sampah ubah suai rumah, pindah rumah, barangan elektrik serta barang kitar semula tidak termasuk dalam perkhidmatan kutipan sampah pukal ini," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, permohonan perkhidmatan kutipan sampah pukal boleh dilaksanakan terus melalui KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di talian 03-80814437 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-35584437 bermula 22 Januari hingga 31 Januari 2024.
"Keutamaan akan diberikan kepada penduduk di bawah kawasan pentadbiran MBSJ yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
"Pemohon akan dihubungi pihak KDEBWM bagi menetapkan tarikh kutipan dan pemohon dikehendaki meletakkan sampah pukal masing-masing di hadapan rumah agar kutipan boleh dilaksanakan oleh kontraktor KDEBWM pada tarikh yang telah ditetapkan," katanya.