SHAH ALAM - CSO Platform for Reform menggesa kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap sebagai pembaharuan institusi yang mengukuhkan asas demokrasi negara.
Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform berkata, akta itu adalah sebuah perundangan kritikal yang akan menetapkan tempoh tetap untuk penggal Parlimen, memberikan kestabilan politik dan menentukan kitaran pilihan raya.
Katanya, selain itu ia juga mampu mengekang pembubaran Parlimen sewenang-wenangnya sekali gus menghalang sebarang cubaan untuk melaksanakan pilihan raya mengejut.
"Wakil rakyat boleh menumpukan perhatian kepada menangani cabaran negara tanpa gangguan dan cakap-cakap mengenai pertukaran kerajaan.
"Tambahan pula, Akta Parlimen Berpenggal Tetap ini akan memperkasakan rakyat dengan menanam keyakinan dalam proses pilihan raya dan menyediakan medan pertempuran yang lebih adil untuk parti politik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut CSO Platform for Reform, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pihak berkepentingan dalam usaha menjalankan kajian terperinci mengenai akta tersebut.
"Sebagai pendokong nilai pembaharuan institusi, kami sedia memberi kerjasama dengan menawarkan kepakaran dan pandangan untuk memudahkan perbincangan yang progresif serta inklusif.
"Kami percaya bahawa pemeriksaan menyeluruh sebegini adalah penting untuk membuat keputusan sebelum dibawa ke pertimbangan dasar oleh Kabinet," ujarnya.