KETIKA membaca Surah al-Fatihah dalam solat, segelintir orang turut mengungkapkan lafaz ta’awuz iaitu auzubillahi minasy syaitanir rajim.
Namun begitu, terdapat sebilangan orang pula tidak memasukkan sekali lafaz berkenaan, sebaliknya terus menyambung bacaan ummul kitab dan meneruskan solat seperti biasa.
Sebenarnya, adakah membaca auzubillah itu perlu sebelum Surah al-Fatihah ketika dalam solat? Andai terlupa, perlukah kita melakukan sujud sahwi?
Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum membaca ta’awuz sebelum al-Fatihah secara umumnya disunatkan pada setiap rakaat dan paling afdal pada rakaat pertama.
Bagaimanapun katanya, kitab al-Mausu’atul Fiqhiyah al-Kuwaitiyah menjelaskan, para ulama bersepakat bahawa lafaz auzubillah itu diperintahkan pada rakaat yang pertama.
"Menurut Imam Syafie dalam kitab al-Umm, andai seseorang sengaja tidak membaca ta’awuz pada rakaat pertama, maka bacalah pada rakaat kedua.
Dalam pada itu, Azhar turut berkongsi bacaan ta’awuz yang afdal iaitu auzubillahi minasy syaitanir rajim (Aku berlindung dengan ALLAH dari syaitan yang direjam).
Selain itu, jelas beliau, sekurang-kurangnya lafaz ta’awuz adalah membaca auzubillah (Aku berlindung dengan ALLAH) dan diharuskan juga bacaan auzubillahis sami’il ‘alimi minasy syaitanir rajim (Aku berlindung dengan ALLAH Yang MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI dari syaitan yang direjam).
"Tempat membaca ta’awuz adalah selepas membaca doa iftitah, sebelum membaca al-Fatihah.
"Ia sunat dibaca pada setiap rakaat, tetapi jika hendak melafazkannya sekali sahaja, maka yang afdal adalah dalam rakaat pertama.
"Begitupun, andai terlupa dalam rakaat perkata ketika solat, sunat dibacakan pada rakaat selepasnya,” ungkapnya.