BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) yang merupakan anak syarikat penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan kerjasama bersama Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk pembangunan sektor ekopelancongan.
Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, kedua-dua pihak merancang menjalinkan usahasama bagi membangunkan forest chalet atau pembangunan berkonsepkan ekopelancongan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi.
Menurutnya, cadangan membangunkan pembangunan di kawasan seluas 4.4 hektar di Darulaman Sanctuary yang mana BDB Land akan menjalankan kajian pelan ukuran terperinci di atas kawasan yang dikenal pasti untuk dibangunkan.
"Selain itu juga, bagi memastikan pembangunan tersebut sejajar dengan matlamat pemuliharaan dan kemampanan alam sekitar, BDB Land akan bekerjasama dengan FRIM Incorporated Sdn Bhd bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran mereka,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU antara BDB Land dan Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi.
Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Enspire Ventures, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi; Presiden Enfiniti Group of Companies, Tiara Jacquelina; Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat.
Dalam pada itu, Raja Shahreen berkata, perancangan usahasama ini merupakan satu lagi usaha berterusan yang akan dilaksanakan BDB menerusi BDB Land bagi mewujudkan tarikan baharu di Langkawi yang mana secara tidak langsung ia akan membantu kerajaan Kedah membangunkan pulau peranginan tersebut.
Jelas beliau, pada tahun lalu BDB Land telah mengumumkan pembangunan Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di Bandar Kuah dan BDB Infra Sdn Bhd, yang juga anak syarikat BDB menandatangani perjanjian jualan saham di antara Gemi Puncak Sdn Bhd dan juga Gemi Puncak Quarry Sdn Bhd sekali gus menjadikan Kumpulan BDB sebagai pemilik kuari granit yang terbesar di Langkawi yang berkeluasan 24.2 hektar.
"Dengan adanya usahasama terbaharu ini, saya mengharapkan ia bakal melonjakkan lagi nama serta memberi nilai tambah baharu kepada Darulaman Sanctuary khasnya dan Langkawi amnya terutamanya melibatkan sektor ekopelancongan bukan sahaja kepada pelancong tempatan malahan juga luar negara,” ujarnya.
Tambahnya, BDB berharap untuk terus terlibat secara langsung dalam pembangunan di Langkawi serta mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan, agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk kita bersama-sama membangunkan pulau peranginan ini.