JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi dua beranak apabila menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan anak lelakinya dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini serta Iskandar Puteri mulai 10 hingga 14 Januari 2024 lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40 hingga 61 tahun itu ditahan sekitar jam 5.30 pagi pada 10 Januari lalu bersama sejumlah rampasan dadah.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine manakala semakan rekod lampau mendapati salah seorang mereka memiliki 46 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah serta dikehendaki (wanted) bagi enam kes melibatkan jenayah dan dadah.
"Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 62,690 penagih.
"Selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi seperti pencetak, pengisar, pengimbang, loyang dan penapis termasuk lima butir peluru bertulis 'S3 9mm Luger' dan 'A USA 380 Auto' yang disyaki peluru hidup," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Polis Johor Bagi Bulan Januari 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Rabu.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari mulai 11 hingga 17 Januari 2024 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan.
Selain itu, katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Mulai 1 Januari sehingga 13 Januari 2024 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor (JSJN) telah berjaya menahan seramai 778 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh yang sama telah berjaya merampas sebanyak 68.56 kilogram (kg).
"Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM1.43 juta dan turut disita adalah harta sindiket bernilai RM249,267,00," ujarnya.
Justeru, polis Johor berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang berlaku di sekeliling mereka dengan menghubungi talian hotline JSJN di talian 012-2087222.