Individu sama disyaki terlibat bakar masjid, surau

Iklan
Kamarul Zaman menyampaikan sijil penghargaan kepada orang awam sempena perhimpunan bulanan tersebut.

JOHOR BAHRU - Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat membakar sebuah masjid dan surau di Sri Medan Batu Pahat, baru-baru ini dilakukan oleh individu yang sama.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, ia berdasarkan kepada persamaan terhadap kerosakan, cara serta waktu perbuatan khianat itu dilakukan.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal kita mendapati modus operandi yang digunakan (bakar masjid, surau), adalah hampir sama. Ada kemungkinan perbuatan khianat ini dilakukan oleh orang yang sama.

"Jadi, kita akan buka siasatan mengikut kes ceroboh dan khianat dengan api," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar.

Kamarul Zaman menyampaikan sijil kepada Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat pada perhimpunan bulanan tersebut.

Untuk rekod, sebuah masjid di Kampung Parit Simis dekat Sri Medan musnah 50 peratus dalam insiden kebakaran sekitar 10.46 malam, Ahad lalu sementara sebuah surau di Parit Bangas di Sri Medan pula musnah 40 peratus akibat kebakaran yang berlaku sekitar 10 malam, pada Isnin.

Iklan

Kes disiasat dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya meminta orang awam supaya memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek tersebut.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga sudah memanggil pihak Kadi Daerah untuk berbincang berhubung perkara berkenaan.

Katanya, perbincangan itu juga diharap dapat menghasilkan jalan penyelesaian dengan mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat itu.

"Insha-ALLAH, dalam masa terdekat, kita percaya akan dapat maklumat dan boleh mengesan suspek.

"Buat masa ini, kita akan meneruskan siasatan berdasarkan kes ceroboh dan khianat dengan api," jelasnya.