[VIDEO] Rayuan tangguh roboh rumah Desa Mukmin Warisan ditolak

Iklan

GOMBAK - Pengerusi Kampung Desa Mukmin Warisan, Mohmad Najib Mokhtar tidak dapat menahan sebak melihat keseluruhan rumah selain surau yang dibangunkan penduduk dirobohkan pada Rabu.

Mohmad Najib berkata, rayuan mereka memohon kerja perobohan ditangguhkan ditolak penguat kuasa dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta PDRM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dianggarkan 150 rumah penduduk terlibat membabitkan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Saya mohon tangguh tapi permohonan ditolak. Belum ada ganti rugi lagi kenapa sudah diroboh surau ini?," luahnya ketika operasi perobohan itu pada Rabu.

Iklan
Operasi perobohan yang dilakukan di Kampung Desa Mukmin Warisan pada Rabu. Gambar kecil: Mohmad Najib

Pada 14 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan serama 157 penduduk terlibat jajaran itu akan diberikan pampasan ex-gratia.

Menurut laporan itu, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Malaysia Railway Link (MRL) menawarkan bayaran ganti rugi kepada pemilik dan penyewa yang perlu mengosongkan kediaman sebelum 15 Januari lalu.

Iklan

Pembayaran tersebut melibatkan kos perpindahan sebanyak RM3,000 selain kos sewa bulanan RM1,500 bagi tempoh 24 bulan selain ganti rugi kos struktur yang terlibat.

Operasi perobohan di Kampung Desa Mukmin Warisan bermula jam 8.30 pagi pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohmad Najib yang juga pesara polis berkata, ex-gratia sebanyak RM33,000 dianggap tidak berbaloi dengan kos rumah didirikan mencecah RM150,000.

"Saya sekarang hilang tempat tinggal, buat sementara waktu terpaksa menumpang di rumah anak yang turut menyewa.

"Saya tinggal di sini sudah 12 tahun, saya sudah cuba mohon geran tetapi ditolak sehinggalah diarahkan kosongkan kediaman untuk ECRL ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Fadzli Arif, 45, meluahkan kebimbangan rumahnya yang terletak kurang lima meter dari projek berkenaan akan terlibat pemindahan bagi fasa seterusnya.

"Ketika ini, penduduk yang terlibat pengosongan adalah terletak pada jajaran projek saja. Saya bimbang baki sembilan rumah berdekatan projek akan terlibat pengosongan pada fasa-fasa berikutnya.

"Selain itu, saya juga bimbang aspek keselamatan terutama anak-anak yang menggunakan laluan kampung. Ini kerana kami kurang jelas dengan pelan projek yang akan dijalankan nanti," katanya.