GEORGE TOWN - Polis Pinang menahan 13 individu dipercayai terbabit dalam sindiket mempromosi dan pusat panggilan (calling centre) judi dalam talian membabitkan jumlah RM2.5 juta dalam dua serbuan berbeza di sini pada Selasa.
Serbuan dalam Op Dadu itu melibatkan anggota dan pegawai daripada Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut serta Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis perniagaan di Jelutong pada jam 10.45 pagi dan menahan sembilan individu iaitu empat lelaki dan lima wanita.
"Dalam serbuan pertama, kita merampas beberapa barangan antaranya sembilan unit komputer riba, dua unit modem internet, 19 unit telefon bimbit dan tujuh buah kereta.
"Seorang wanita berusia 32 tahun merupakan dalang sindiket yang bertindak merekrut pekerja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati, premis tersebut telah beroperasi sejak setahun lalu dan mampu menjana pendapatan RM1 juta.
"Sindiket tersebut dipercayai menyewa premis tersebut sebanyak RM7,000 sebulan.
"Kesemua tangkapan bekerja secara sepenuh masa menjalankan aktiviti perjudian dalam talian," katanya lagi.
Kok Chin berkata, serbuan kedua dijalankan di sebuah kondominium di Queensbay, Bayan Baru pada jam 1.30 petang, hari sama.
"Di kediaman tersebut, kita menahan empat lelaki warga tempatan selain merampas beberapa barangan antaranya 13 unit telefon bimbit, tiga unit komputer, dua buah kereta dan dua buah meja.
"Dua daripada mereka merupakan dalang kepada sindiket berkenaan.
"Sindiket tersebut aktif di kediaman tersebut sejak lima bulan lalu dengan menjana pendapatan RM1.5 juta sebulan. Mereka menyewa kondominium itu dengan kadar RM5,000 sebulan," katanya.
Tambah beliau, modus operandi kedua-dua sindiket tersebut adalah dengan menggunakan aplikasi WeChat dan Facebook.
"Sindiket ini menggunakan medium media sosial untuk mempromosikan pelbagai permainan perjudian dalam talian menggunakan komputer dan telefon bimbit dengan menyasarkan pelanggan perjudian di Australia dan Bangladesh.
"Sindiket ini menyasarkan mangsa di Australia kerana mangsa sukar untuk membuat laporan polis selepas ditipu," katanya.
Kok Chin berkata lagi, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif daripada sebarang pengambilan dadah.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) kerana menguruskan aktiviti perjudian dan 4(1)(g) kerana mempromosikan aktiviti perjudian Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap kesalahan," katanya.