BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya melunaskan 'dendam' ke atas pasangan dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari setelah tewas dalam tiga pertemuan di pentas antarabangsa tahun lalu.
Kejayaan tersebut diraih setelah pasangan yang menghuni ranking kesembilan dunia itu menumpaskan Rinov-Pitha dalam saingan awal Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, pada Rabu.
Kemenangan itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah oleh Tan Jie-Ee Wei apabila mereka dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan.
Mereka tewas pada set pertama kepada pasangan ke-19 dunia itu 14-21, sebelum bangkit dalam saingan berikutnya untuk mengesahkan kemenangan 21-11, 21-11 dalam tempoh 55 minit permainan.
Tan Jie-Ee Wei sebelum ini tewas kepada Rinov-Pitha pada Malaysia Masters, Terbuka Australia dan Terbuka China.
Menanti mereka dalam saingan pusingan kedua ialah beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran (ranking ke-17) atau Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (ranking ketujuh).
Sebagai rekod, pencapaian Tang Jie-Ee Wei pada Terbuka India tahun lalu berakhir pada pusingan 16 setelah tewas kepada beregu China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.
Sementara itu, turut mara ke pusingan kedua ialah beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mengalahkan pasangan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura 21-11. 21-5 dalam tempoh 30 minit permainan.
Dalam aksi pusingan kedua, mereka akan berdepan pasangan China, Liu Yu Chen-Qu Xuan Yi yang menundukkan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis 21-17, 21-9.
Bagaimanapun skrip berbeza menimpa satu lagi beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tewas kepada Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun 21-7, 21-12.