BEKAS penyampai radio, Mohd Khairul Ikhwan Rosli atau lebih dikenali sebagai Ikhwan Rosli tidak menafikan wujud senario politik di stesen radio.
Namun dalam masa sama, personaliti berusia 41 tahun itu berpendapat, situasi ini juga wujud dalam mana-mana organisasi lain.
"Bagi saya mana-mana tempat pun ada politik masing-masing. Saya sudah berkhidmat di sebuah stesen radio selama 12 tahun dan ia satu jangka masa yang lama.
"Memang tidak mudah untuk menghadapi, tapi bagi saya kita kena chill (bertenang) sahaja. Konsepnya kalau orang beri tahi, kita tetap beri bunga," katanya.
Ikhwan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu di Tonton, SeOfis di Worq KL Sentral, pada Rabu.
Tambah Ikhwan, penyampai juga mempunyai tempoh tertentu dalam stesen radio dan bagi yang berada di posisi itu, pasti memahami cara sesebuah organisasi itu berfungsi.
"Kalau saya cakap ini mungkin ada yang sensitif, tetapi siapa yang pernah terlibat dalam dunia penyiaran radio pasti tahu pro and cons, tahu cara.
"Kadang-kadang sebagai penyampai, bila kita sudah terlalu lama dalam bidang ini, kita mengerti itu senario biasa yang akan dilalui.
"Dalam masa sama, mungkin ada masalah lain yang menjadi punca (penamatan perkhidmatan). Semua bergantung pada stesen radio itu sendiri," jelasnya.
Mengulas mengenai nasib yang dialami oleh bekas penyampai Suria FM, Tyzo Xander atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, bintang utama Bong itu berpendapat, Tyzo perlu melihat daripada sudut berbeza.
"Sebagai rakan penyampai radio apa yang boleh saya katakan, kena chill. Kita macam pemain bola sepak akan bertukar-tukar.
"Mungkin dia berhenti kerana politik, mungkin juga ada masalah dalaman lain yang tidak dapat diselesaikan. Doa yang baik-baik untuk dia.
"Apa yang terjadi ini ada hikmahnya. Kalau kita lihat, nama dia sekarang disebut-sebut, orang lebih mengenali dia, yang tak minat jadi minat. Kena lihat dari sudut lain, mungkin ALLAH nak bagi rezeki yang lebih baik," ujarnya.
Bayaran tinggi
Sementara itu, ditebak mengenai gaji penyampai radio yang dikhabarkan ada mencecah sehingga enam angka, Ikhwan tidak menafikan perkara itu.
Jelasnya, bayaran yang diterima oleh penyampai radio sememangnya tinggi sejak dahulu dan bukan menjadi trend pada masa kini.
"Memang ramai yang tidak tahu bahawa bayaran setiap penyampai memang tinggi dari zaman senior saya lagi seperti Halim Othman dan Linda Onn.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada pengalaman dan gaya penyampaian mereka kerana radio adalah salah satu medium utama suatu ketika dahulu.
"Cuma sekarang mungkin berbeza dan kalau penyampai baru gajinya tidaklah setinggi yang lama," katanya.