PELAKON jelita, Sophia Albarakbah berazam untuk memastikan dirinya tidak terpalit sebarang gosip lagi.
Kata Sophia, dia ingin memenuhkan ‘buku baru’ tahun ini dengan kisah-kisah menarik berpaksikan kerjayanya.
"Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda kerana saya tak mahu kisah silam diungkit lagi.
"Saya tak mahu peminat kenal saya kerana pelbagai cerita kontroversi dan bukannya bakat lakonan dipertaruhkan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Jiwa 8 Belas di One Utama Bandar Utama baru-baru ini.
Pada masa sama, wanita yang menginjak ke usia 30 tahun itu bersyukur, rezeki masih berpihak kepadanya biarpun nama tercalar dek kontroversi tidak terjangka.
Ujar Sophia, dia lega kerana diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah drama serta filem sepanjang tahun ini.
"Saya bersyukur agenda seni padat hingga hujung tahun ini,” jelasnya yang akan tampil dengan empat buah filem tahun ini.
Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd, Sophia berkata, naskhah itu sebenarnya telah membawanya ke dalam industri seni.
"Saya dapat tawaran berlakon dalam filem Jiwa 8 Belas ini melalui proses uji bakat pada penghujung 2018. Sebelum itu saya cuma terlibat dengan iklan dan kawan saya yang yakinnya untuk mencuba nasib.
"Sejujurnya, kalau dilihat semula lakonan saya selepas hampir enam tahun, rasa banyak yang ingin diperbaiki, tetapi itulah hasilnya ketika tidak ada apa-apa pengalaman berlakon lagi,” katanya mengenai filem arahan S Baldev Singh itu.
Selain Sophia, karya itu turut menampilkan pelakon seperti Shah Hazvee, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, A Galak, Jalaluddin Hassan, Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.
Naskhah yang berkisahkan jiwa remaja itu akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 18 Januari ini.
Ditanya pengalaman mencabar, kata Sophia, dia mengalami kecederaan dan kakinya lebam-lebam ketika menjayakan babak diculik penjahat yang mahu menjualnya dalam filem itu.
"Saya perlu melakonkan babak melarikan diri dalam hutan dan sungai tanpa memakai kasut ketika dikejar penjahat.
"Selain itu, ada juga babak muka saya dicelup dengan air kotor dan berlumpur oleh penjahat,” ujarnya.