220 'hot spot' PATI dikenal pasti - KP Imigresen

Iklan
Ruslin (dua dari kanan) ketika sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Sebanyak 220 lokasi panas pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenal pasti di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, 'hot spot' itu bukan sahaja penempatan haram tetapi turut melibatkan premis perniagaan dan kawasan yang sering menjadi tempat berkumpul warga asing.

Iklan
Iklan

"Contohnya, antara lokasi panas di ibu negara adalah sekitar Jalan Silang dan Bukit Bintang tetapi di negeri lain juga turut dikesan.

"Majoriti hot spot ialah penempatan yang dikesan sama ada dibina secara haram atau sewa selain tempat kerja dan perniagaan," katanya ketika sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, JIM banyak menerima aduan daripada penduduk atau pemimpin masyarakat yang bimbang dengan lambakan warga asing.

Jelasnya, semakan akan dibuat dan JIM tidak mahu warga asing di Malaysia ini tinggal secara tidak sah tanpa sebarang dokumen atau pas kerja.

Iklan

"Hot spot ini dalam radar kita. Tunggu masa.. kita tidak pernah tidur, di saat mereka tidur, kita datang.

"Kita tidak mahu mereka (PATI) ini bebas bergerak sesuka hati sedangkan mereka lakukan kesalahan imigresen," ujarnya.

Mengulas lanjut, berdasarkan statistik dalam tempoh 16 hari tahun ini bermula 1 Januari, JIM telah melaksanakan 714 operasi melibatkan 7,571 pemeriksaan ke atas warga asing.

"Hasil tindakan itu, seramai 3,261 PATI ditahan selain tangkapan 35 majikan," katanya.

Tegas beliau, operasi berterusan tanpa henti akan dijalankan dengan kerjasama semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan.

"Sasaran kita bukan sahaja PATI, tetapi majikan yang majoritinya warga tempatan kerana menggajikan PATI," katanya.