Bekas Ketua Hakim Negara diterima masuk sebagai peguam bela, peguam cara

Iklan
Md Raus diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif hari ini diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Penerimaan masuk Md Raus, yang sudah bersara dan berusia 72 tahun itu, berlangsung melalui upacara Long Call di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Iklan
Iklan

Wan Ahmad Farid berkata, dokumen bekas hakim itu adalah teratur dan beliau merupakan individu yang layak serta sesuai di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk kemasukan ke Badan Peguam.

Sambil mengucapkan tahniah, Wan Ahmad Farid berkata, Md Raus bukanlah figura asing kepada pengamal undang-undang kerana beliau telah mengabdikan seluruh hidup dewasanya untuk menabur bakti kepada negara.

Iklan
Md Raus diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya. Foto Bernama

"Sentiasa ingat dua perkara apabila anda berurusan dengan anak guam. Pertama adalah komunikasi. Komunikasi spontan adalah sesuatu yang cukup mudah untuk dilakukan oleh peguam tetapi hanya segelintir yang melakukannya.

"Sentiasa berkomunikasi dengan anak guam dengan maklumat terkini, sama ada penting atau sebaliknya, adalah cara terbaik untuk menunjukkan keterlibatan dalam sesuatu kes. Ia membantu mereka merasakan bahawa anda benar-benar fokus pada masalah yang dihadapi oleh mereka.

Iklan

"Kedua, selain berkomunikasi dengan jelas dan tanpa perlu diminta berbuat demikian, anda perlu memastikan anak guam anda memahami apa yang sebenarnya anda boleh lakukan untuk mereka. Menguruskan jangkaan adalah penting untuk mengelakkan kekecewaan di kemudian hari.

"Jangan berjanji jika anda tidak mampu memenuhinya kerana ini boleh melunturkan kepercayaan anak guam anda. Ringkasnya, tetapkan jangkaan yang realistik dan maklumkan anak guam anda apa perlu mereka hadapi adalah lebih baik," katanya.

Pada majlis hari ini, Md Raus yang dilahirkan di Negeri Sembilan pada 1951, telah dipakaikan jubah oleh bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin manakala peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah pengusul petisyen beliau untuk diterima masuk.

Terdahulu, Mohd Hafarizam berkata, Md Raus merupakan individu yang berpengalaman luas sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Peguam Kanan Persekutuan, penasihat undang-undang, majistret dan juga Hakim Mahkamah Sesyen.

Md Raus diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya. Foto Bernama

"Saya yakin dengan pengalaman dan ilmu yang ada pada pempetisyen, beliau bakal membuktikan beliau adalah yang terbaik dalam kedua-dua bidang, hebat baik di bangku hakim mahupun di meja peguam," katanya.

Ketegasan Md Raus dalam penghakiman beliau dapat dilihat dalam kes membabitkan krisis perlembagaan di Perak iaitu antara Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2009.

Peguam Cara Negara II, Datuk Suzana Atan, yang hadir bagi pihak Peguam Negara, dan peguam Suhirthamalar Sandrasecaram yang mewakili Majlis Peguam pula berkata, mereka tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap penerimaan masuk Md Raus sebagai peguam cara dan peguam bela.

Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada April 2017 dan melepaskan jawatan itu pada Julai 2018.

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pada 1976 dan pernah menjadi Presiden Mahkamah Rayuan dari September 2011 hingga Mac 2017.

Md Raus turut memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics pada 1987 dan tahun lepas, beliau menerima Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang dari Universiti Multimedia.

Pada 1994, Md Raus menjadi Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian dan menyandang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2006. - Bernama