KUALA LUMPUR - Komitmen kerja yang ditunjukkan setiap pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan, adalah contoh terbaik kerjasama dalam jabatan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kerjasama antara semua bahagian yang terbabit dalam siasatan kes bunuh kanak-kanak berusia enam tahun itu, menunjukkan satu contoh yang membanggakan.
"Kes itu adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh JSJ sepanjang tahun lalu.
"Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandangan dan persepsi masyarakat, saya merasa bangga melihat semangat serta kerjasama yang ditunjukkan dalam kes ini," katanya dalam Perutusan Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, di Pusat Latihan Polis, di sini, pada Selasa.
Mohd Shuhaily berkata, semua pihak yang terlibat berkumpul siang dan malam serta saling membantu menyelesaikan kes.
"Semangat kerja itu yang saya mahu lihat dan perlu menjadi contoh kepada setiap warga JSJ.
"Saya melihat semua yang terbabit dalam kes ini daripada Bahagian D10 (Unit Forensik JSJ), Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak), Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan D13 (DNA Databank) serta komitmen timbalan saya (DCP Fadil Marsus dan Ketua Polis Selangor, semua saling bekerjasama, berusaha keras dalam siasatan kes," katanya.
"Apabila pegawai atasan menghubungi mereka, setiap orang menjawab panggilan dan bersedia untuk berkhidmat di lapangan (Damansara Damai).
"Sehingga hari ini, kita boleh melihat semua orang kita (warga JSJ) berada di lapangan sedaya upaya mencari dan mengumpul bukti serta petunjuk penting kepada kes tersebut," katanya.
Menurutnya, semangat yang ditunjukkan itu harus wujud dalam diri setiap warga JSJ.
"Komitmen sama juga turut dipaparkan semasa insiden nahas pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 20 Ogos lalu yang mengorbankan 10 individu.
"D13 yang berada di lokasi kejadian pada masa itu berusaha memproses segala serpihan dan bukti yang ada di lapangan secepat mungkin bagi membantu serta memudahkan waris, ahli keluarga menuntut jenazah lebih cepat untuk urusan pengebumian," katanya.
Beliau berkata, tanpa komitmen dan usaha keras sudah pasti proses berkenaan akan memakan masa.
Mohd Shuhaily turut menyeru semua warga JSJ untuk sentiasa menerima perubahan dan melakukan penambahbaikan dalam semua aspek.
"Saya mempunyai tanggungjawab terhadap 10,000 pegawai dan anggota JSJ di seluruh negara, justeru saya ingin tegaskan bahawa kita perlu berubah ke arah yang lebih baik," katanya.