PUTRAJAYA - Penjualan spesies hidupan liar eksotik dalam talian kini dikesan menggunakan konsep orang tengah melalui kaedah pesan hantar yang tidak menyimpan hidupan liar dan hanya mengambil komisen atas penjualan hidupan liar berkenaan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, penjualan hidupan liar dalam talian melibatkan penjual berlesen, penjual tidak berlesen oleh pemburu haram atau pembiak baka haram dan sindiket dengan modus operandi yang digunakan adalah kaedah bayar waktu terima (COD), kurier dan pengangkutan awam.
"Penggunaan media sosial yang luas dan kawalan privasi yang ketat menyukarkan usaha untuk menjejaki individu penjenayah yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai maklum balas kepada laporan akhbar berbahasa Inggeris pada 12 Januari lepas mengenai peningkatan pemerdagangan hidupan liar eksotik dalam talian.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah melaksanakan pelbagai tindakan untuk menangani penjualan hidupan liar dalam talian yang semakin berleluasa.
Ia termasuk mengukuhkan kerangka perundangan melalui pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dengan menambah peruntukan khusus serta meningkatkan hukuman kepada penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda maksimum RM1 juta sebagai salah satu pendekatan pencegahan.
Di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), kesalahan mengimport dan mengeksport hidupan liar tanpa permit boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara selama tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan dan denda maksimum RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan.
Berdasarkan data Perhilitan Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2020 hingga Disember 2023, terdapat 654 aduan kes penjualan hidupan liar eksotik secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial.
Spesies hidupan liar primat iaitu kumpulan mamalia seperti monyet dan lemur merupakan spesies yang paling tinggi diperdagangkan iaitu sebanyak 215 ekor diikuti dengan spesies mamalia kecil dan burung.
Nik Nazmi berkata, mengikut rekod dari tahun 2015 hingga 2023, sebanyak 58 kes penjualan hidupan liar di media sosial telah diambil tindakan oleh Perhilitan dan daripada jumlah itu, 25 kes telah selesai manakala kes yang selebihnya dalam proses siasatan dan pendakwaan. - Bernama