Tarif air naik: Pahang cari jalan bantu ringan beban rakyat - MB

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Wan Rosdy

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang akan mencari jalan membantu meringankan beban golongan B40 di negeri ini susulan pelaksanaan tarif air baharu berkuat kuasa 1 Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu akan diteliti dan diperhalusi melalui perbincangan bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan lain-lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian subsidi atau bantuan sewajarnya mungkin dipertimbangkan bagi mengurangkan beban golongan tersebut.

"Ia memerlukan sedikit masa kerana perkara ini baru diumumkan dan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan belum dimulakan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas, di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, kenaikan tarif air itu bukan satu isu kerana ia melibatkan seluruh negara.

Iklan

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diumumkan.

"Kadar harga air di Pahang kekal 37 sen sejak 40 tahun lalu dan melalui pelaksanaan kadar baharu ini harga air dijangka dinaikkan kepada 78 sen," katanya.

Tambah beliau, melalui tarif baharu itu dijangka akan memberi hasil kira-kira RM80 juta setahun kepada kerajaan negeri.

"Itu jangkaan kita namun sekiranya subsidi diberikan mungkin jumlahnya menurun dari sasaran.

"Hasil air ini akan digunakan kembali untuk menaik taraf perkhidmatan air di negeri ini," katanya.