TEMERLOH - Kenaikan pelbagai kos termasuk alat gantian kenderaan menyebabkan kenaikan tambang tambang bas sekolah pada Mac ini tidak dapat dielakkan.
Beberapa pengusaha bas dan van sekolah di sini masing-masing meluahkan pandangan berbeza berhubung kadar tambang tersebut.
Seorang pengusaha van sekolah, Rossuhaila Kassim, 49, berkata, dia akan menaikkan tambang hingga RM5 seorang susulan tidak mampu lagi menanggung kenaikan pelbagai kos.
Menurutnya, kadar tambang yang dikenakan setakat ini iaitu RM60 sebulan dan kali terakhir kenaikan pada dua tahun lalu.
"Dengan keadaan semasa memang kenaikan tambang tidak dapat dielakkan dan saya akan memberikan notis permakluman kepada ibu bapa nanti.
Reaksi sama turut diluahkan seorang lagi pengusaha van sekolah, Nik Sah Nik Mat, 48, yang memiliki dua van untuk perkhidmatan tersebut.
Ujarnya, kenaikan tambang pada Mac ini terpaksa dilakukan susulan situasi semasa yang dihadapi mereka.
"Saya mungkin akan naik hingga RM3 seorang dan macam saya sendiri terpaksa buat kerja sampingan bekerja di kedai makan untuk menampung kehidupan keluarga.
"Dengan situasi suami yang tidak dapat buat kerja-kerja berat akibat kemalangan dan kini hanya membantu menghantar pelajar ke sekolah," jelasnya sudah 13 tahun mengusahakan van sekolah.
Nik Sah berkata, buat masa ini dia mengenakan tambang RM56 untuk pelajar sekolah menengah dan RM47 untuk murid sekolah rendah setiap seorang.
"Kadang ada rasa mengalah nak teruskan, sebab banyak kos terpaksa ditanggung,minyak, penyelenggaraan lagi," jelas ibu kepada enam anak itu.
Namun berbeza dengan, P Selvam, 48, yang memilih untuk kekal dengan kadar lama iaitu RM41 seorang.
"Rasa kesian kepada ibu bapa, lagi pun saya sudah kenal lama dengan mereka yang sebelum ini turut gunakan perkhidmatan saya.
"Memang saya akui kenaikan pelbagai kos menjejaskan pengusaha seperti saya. Malah dah ramai pengusaha berhenti buat bas sekolah, rasanya tinggal beberapa kerat sahaja di daerah ini, tak macam dulu," dakwanya.