IPOH - Selain larangan merokok di dalam kawasan premis-premis makanan, orang ramai juga perlu mematuhi larangan berkenaan walaupun ketika menjamu selera di sekitar kawasan kaki lima.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A Sivanesan berkata, larangan berkenaan turut meliputi kawasan bagi golongan penjaja makanan.
"Kita biasa tengok ada restoran yang meletakkan kerusi, meja di luar premis khususnya pada waktu malam termasuk golongan penjaja (hawkers) makanan.
"Ini berikutan larangan merokok di premis-premis makanan yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2019 lalu yang menetapkan jarak tiga meter dari premis berkenaan untuk merokok.
"Malah, jika premis berkenaan 'membuka' meja di kawasan terbuka, jarak tiga meter itu perlu diukur semula daripada meja yang terakhir," katanya.
Sivanesan berkata demikian pada sidang media, sempena program Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU), hari ini.
Sementara itu Sivanesan berharap agar semua pengusaha makanan terutamanya premis makanan dapat mempamerkan papan tanda larangan merokok di premis masing-masing.
Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pengusaha makanan berdepan denda RM2,500.
"Setakat ini sebanyak 5,462 pemeriksaan telah dibuat di 3,334 premis di sekitar negeri dan didapati tiada papan tanda dilarang merokok dipamerkan.
"Selain itu, seramai 432 individu telah diberikan amaran berhubung perkara berkenaan.
"Bagaimanapun katanya, selama tempoh enam bulan ini, pengusaha makanan hanya akan berikan amaran," katanya.