SUNGAI PETANI - Kunjungan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) merupakan percutian terakhir sebelum pasangan suami isteri terkorban dalam kemalangan meninggalkan lima beradik yatim piatu, Khamis lalu.
Kenangan itu menjadi ingatan manis buat Adib Ieman Mohd Norzianal, 8, yang merupakan anak bongsu lima beradik terbabit, mengenangkan saat manis percutian bersama kedua ibu bapanya.
Menurut Adib, jika diberi peluang dia meluahkan hasrat mahu sekali lagi ke KLCC yang dikunjungi bersama keluarga tiga minggu sebelum kemalangan berlaku.
"Teringin nak pergi KLCC dan Perak cuti sekolah ini," katanya ketika dikunjungi Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari pada Rabu.
Kakak sulung Adib, Nurul Fatin Hanani Azmi, 23, berkata, percutian itu adalah kenangan terakhir mereka bersama tahun lalu.
"Last tempat kami pi dengan mama abah ialah KLCC, sebab tu adik terasa nak pi lagi," katanya.
Menurutnya, sejak kematian kedua ibu bapanya, Adib tidak dapat tidur malam kerana sering tercari-cari mereka.
Jelasnya, bagi mengurangkan rasa rindu, Adib akan memeluk salah satu bantal kedua arwah orang tuanya sebelum tidur.
"Adik tiap-tiap malam tidur dengan saya, malam-malam dia cari mama abah, dia akan cerita kenangan apa dia buat dengan mama abah sebelum ini," katanya.
Dalam kejadian jam 1 pagi Khamis lalu, Mohd Norzianal, 46, dan isterinya, Suhana Othman, 43, meninggal dunia selepas motosikal jenis Duke KTM dinaiki mereka melanggar tiang elektrik dipercayai cuba mengelak babi melintas bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini.
Pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Kejadian itu menyebabkan Nurul Fatin, Adib dan tiga beradik lain, Aida Batrisya, 17, Alya Batrisya, 16, dan Adam Irfan,15, hilang tempat bergantung.
Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kedah, Rak Boon Tan Rat yang turut menziarahi mereka berkata, pihaknya menyerahkan Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM4,000 untuk kedua-dua mangsa kemalangan.
Menurutnya, PERKESO juga menguruskan pemberian Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,340.87 setiap bulan kepada empat anak berusia 21 tahun ke bawah.
Dalam perkembangan sama, Mohammed Taufiq menjelaskan, pihaknya akan memantau keadaan lima beradik yatim piatu itu selain bekerjasama dengan semua agensi bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.