PASIR PUTEH - Seorang lelaki ditemukan maut selepas terjatuh dari pokok durian ketinggian 30 meter di Telosan, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa Mohd Zainuri Hamzah, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.09 petang mengatakan seorang lelaki terjatuh ketika sedang mengambil petai di kebunnya.
"Sejurus tiba, pihak kami mendapati mangsa telah terjatuh dari pokok durian dengan ketinggian 30 meter. Mangsa dikatakan memanjat pokok buah tersebut untuk mengambil petai di sebelahnya," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, bomba menggunakan pengusung untuk membawa keluar mangsa dari tempat kejadian dengan jarak dua kilometer (km).
Ujarnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.