Isu kibar bendera putih akibat tidak dapat bantuan air hanya salah faham

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

JERTIH - Seorang pesara tentera yang bertindak menaikkan bendera putih di perkarangan rumahnya di Kampung Air Tawar, di sini kerana tidak memperoleh bekalan air selama dua hari pada minggu lepas, mengakui ia berpunca daripada isu salah faham.

Mengakui kesilapannya memuat naik perkara tersebut ke akaun Facebook, Leftenan Kolonel (B) Mohd Rashid Mohamad Ibrahim, 63, berkata, kejadian itu berlaku, akibat rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan pihak yang bertanggungjawab untuk menghantar bantuan bekalan air dari rumah ke rumah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, perasaan tidak puas hatinya itu meleset, kerana ternyata kumpulan yang menghantar bekalan air itu bukanlah petugas Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) atau kerajaan negeri, sebaliknya kumpulan sukarelawan.

"Dalam kejadian pada Sabtu lepas itu, saya lihat jiran-jiran saya mendapat bantuan air yang dihantar kumpulan berkenaan, dengan mengisi air ke dalam tangki atau bekas yang disediakan tuan rumah di hadapan kediaman masing-masing.

Iklan

"Tapi, bila sampai di rumah saya, petugas beritahu air dalam tangki mereka sudah habis dan akan datang semula. Namun, sampai ke malam tidak ada sebarang bantuan bekalan air tiba sedangkan esoknya (Ahad) empat anak saya mahu bersekolah,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini pada Rabu.

Akibat kejadian tersebut, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, beliau mengambil keputusan menaikkan bendera putih dan memasang lampu berdekatan tangki air di hadapan rumahnya.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan itu bukanlah sebuah tanda protes atau membawa sebarang maksud negatif, sebaliknya sebagai penanda kepada petugas untuk memastikan mereka tidak terlepas mengisi air ke dalam tangki miliknya.

"Tapi sekarang apabila mengetahui semua petugas tersebut sebenarnya sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan, maka saya reda sahaja jika ada yang datang hantar air atau tidak di depan rumah saya. Sekiranya tidak ada, saya akan pergi ambil sendiri di mana lokasi yang sesuai,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rashid berkata, selepas kejadian itu, tangki air di rumahnya sentiasa diisi oleh pasukan sukarelawan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas tanpa mengira masa yang adakalanya sehingga ke awal pagi.

Kisah Mohd Rashid itu merupakan sebahagian daripada ribuan penduduk di beberapa kawasan di Besut terutama di Mukim Bukit Keluang yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak 1 Januari lepas.

SATU dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan masalah yang menjejaskan 11 buah kampung di sekitar Besut, melibatkan 2,670 akaun pengguna itu berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut dan menjangkakan masalah itu hanya pulih pada 21 Januari ini.

Difahamkan, status kerja-kerja pemasangan dan pembaikan paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar sungai Besut berhampiran jambatan Kampung Lampu, sedang giat dilaksanakan. - Bernama