Malaysia terus berpegang kepada 'Dasar Satu China' - Wisma Putra

Iklan
Wisma Putra

PUTRAJAYA - Malaysia mengulangi sokongan terhadap 'Dasar Satu China' memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik dengan China.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia sentiasa dan akan terus berpegang kepada dasar itu yang telah menjadi asas kepada perkongsian yang kukuh dan saling menguntungkan.

Iklan
Iklan

Beberapa siri program dan aktiviti sedang dirancang, termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem peringatan, forum perniagaan dan persembahan kebudayaan.

Pada tahun 2013, hubungan kedua-dua negara ini telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Iklan

Pada tahun lepas sempena ulang tahun ke-10 CSP ini, pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara telah dipergiatkan lagi, termasuk lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China ke-14 Zhao Leji ke Malaysia.

"Ini mempamerkan penekanan yang diletakkan oleh pemimpin kedua-dua negara ke atas hubungan dua hala Malaysia-China berdasarkan kepada prinsip saling menghormati dan persefahaman bersama," menurut kenyataan itu.

Iklan

Malaysia dan China menjalinkan hubungan bilateral secara rasmi pada 31 Mei 1974, selepas menandatangani Pernyataan Bersama antara Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri, Chou En-Lai ketika itu. - Bernama