BARISAN pemain negara memperoleh tonik tambahan menjelang perhitungan penting berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 di Stadium Jassim bin Hamad Sabtu ini.
Ia susulan pertemuan tertutup antara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan para pemain skuad Harimau Malaya di hotel penginapan pasukan di Doha pada Rabu.
Perjumpaan tersebut bagi membakar semangat mereka untuk menentang Bahrain selepas skuad kendalian Kim Pan-gon itu kecundang 0-4 kepada Jordan dalam aksi pertama Selasa lepas.
"Kita harap pemain-pemain dapat memberikan saingan yang kuat menentang Bahrain dan Insya-ALLAH para pemain akan memberikan persembahan sebaik mungkin," ujar Hamidin menerusi catatan di Facebook FAM pada Rabu.
Hamidin turut menagih doa rakyat Malaysia untuk mengiringi perjuangan pasukan kebangsaan.
"Sama-sama kita doakan pasukan Harimau Malaya dapat melakukannya Sabtu ini," katanya.
Malaysia ketika ini berada di tangga tercorot kumpulan selepas kalah kepada Jordan Selasa lalu.
Aksi berdepan Bahrain dianggap perlawanan hidup mati bagi memburu slot ke pusingan kalah mati.