Labuan terima bekalan gula selepas masalah kekurangan lebih seminggu

Iklan
Pengguna di Labuan lega dengan ketibaan bekalan gula tambahan di pulau bebas cukai itu. Foto hiasan

LABUAN - Selepas menanggung masalah kekurangan bekalan gula selama lebih seminggu, pengguna di sini akhirnya mendapat kelegaan hari ini dengan ketibaan bekalan gula tambahan di pulau bebas cukai ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup cawangan Labuan mengesahkan 9,800 kilogram (kg) gula diterima daripada pemborong di Sabah iaitu Chung Kwong, Sandakan dan Keluarga Timur Kota Kinabalu pagi ini.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata, bekalan tambahan dijangka tiba dalam beberapa hari akan datang.

"Dalam tempoh satu atau dua hari, tambahan 10,000 kg dijangka dari Sabah, dengan satu lagi penghantaran 118,800 kg dijangka pada minggu berikutnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Iklan

Kekurangan bekalan gula yang berlarutan telah menyebabkan kekecewaan dalam kalangan pengguna, pengusaha restoran dan pemilik kedai makanan dan kedai bakeri.

Ramai telah meluahkan rasa tidak puas hati mereka di platform media sosial, menuju kemarahan mereka kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abd Rahman yang kemudiannya merujuk aduan itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Iklan

Perniagaan terjejas dengan beberapa terpaksa menutup operasi sementara disebabkan oleh kekurangan bekalan gula.

Omar Ali, pemilik sebuah kedai bakeri di Kampung Sungai Bedaun, merungut,"Kami bergantung pada gula untuk kedai bakeri kami...terpaksa menutup operasi perniagaan untuk beberapa hari."

Pengusaha restoran juga berkongsi kesusahan mereka dengan menyatakan bahawa mereka terhad untuk menawarkan hanya minuman sejuk dan tin kepada pelanggan semasa kekurangan ini.

Semalam, Armizan dalam kenyataan berkata, masalah kekurangan bekalan gula di Labuan dijangka selesai selewat-lewatnya hari ini dengan kemasukan bekalan sebanyak 118.8 metrik tan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, faktor kedudukan kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi punca bekalan gula menjadi isu utama hingga memberi kesan yang serius dalam rantaian penghantaran bekalan. - Bernama