ALOR SETAR - Pelarasan tarif air bagi kategori domestik bermula 1 Febuari secara keseluruhan tidak akan membebankan pengguna di Kedah.
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan mengambil contoh bagi penggunaan air 10 meter padu dan ke bawah, kenaikan caj yang dikenakan hanyalah sebanyak RM1.50 sahaja.
Bagaimanapun, SADA tetap memahami kesempitan yang ditanggung oleh sebahagian pengguna dan syarikat itu masih melaksanakan program subsidi air bersasar kepada pengguna yang berada dalam kategori miskin tegar dan berdaftar dengan sistem e-Kasih.
"SADA akan memastikan pelarasan kadar tarif ini selari dengan peningkatan dari aspek mutu perkhidmatan yang memberi manfaat berterusan kepada pengguna," katanya.
Pengumuman pelarasan tarif air itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM), iaitu struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Labuan serta ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
Dalam pada itu, SADA memaklumkan pelarasan kadar tarif itu perlu dilaksanakan bagi menjamin kelestarian perkhidmatan dan bukan bersifat keuntungan.
Menurutnya, sumber kewangan yang kukuh dan mencukupi membolehkan SADA membangunkan projek infrastruktur air yang mampan sekali gus menambah baik liputan bekalan air di seluruh negeri.
Tambahnya, dana tambahan yang diperoleh daripada pelarasan kadar tarif tersebut akan dilaburkan semula untuk kos perbelanjaan modal (CAPEX) yang telah dirancang bagi memastikan kesinambungan bekalan dan perkhidmatan serta memenuhi permintaan bekalan air yang terus meningkat saban tahun.
"Bagi tahun 2024, SADA memperuntukkan sejumlah RM60.91 juta melibatkan perbelanjaan operasi (OPEX) dan CAPEX bagi tujuan pembangunan serta pengukuhan aset air dengan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur baharu, penyelenggaraan aset mekanikal dan elektrikal dan penggantian sistem perpaipan yang telah uzur dan usang,” menurut kenyataan itu.
Menurut SADA, pelarasan kadar tarif bagi pengguna kategori domestik di negeri ini akan berkuat kuasa mulai 1 Feb ini dan kadar tarif baharu akan dicaj kepada pengguna kategori yang terlibat bermula pada bil bulan berikutnya. - Bernama