Najis tikus dalam stor simpan bahan mentah, 3 premis makanan diarah tutup

Iklan
Foto hiasan. Foto123RF

GEORGE TOWN - Tiga premis makanan diarahkan tutup selepas pemeriksaan menemui najis tikus dalam stor menyimpan bahan mentah ketika pemeriksaan menerusi Op Tegas oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini hari ini.

MBPP dalam kenyataan berkata, arahan penutupan selama 14 hari sehingga 30 Januari ini dibuat di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan MPPP 1991.

Iklan
Iklan

"Operasi disertai 11 pegawai Jabatan Pelesenan dibantu dua pegawai Jabatan Penguatkuasa serta dua pegawai Bahagian Perhubungan Awam, bertujuan memantau premis makanan di bahagian pulau, Pulau Pinang supaya menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.

"Lima premis telah diperiksa dan tiga daripadanya diarah tutup, selepas pemeriksaan pada stor penyimpanan bahan mentah didapati berbau air kencing tikus yang seterusnya membawa kepada penemuan najis tikus,” menurut kenyataan itu.

Iklan

MBPP berkata, kesemua lima premis makanan terbabit turut diberi Notis Tentang Kesalahan (NTK) mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 Seksyen 47(1) kerana didapati tidak menyelenggara perangkap minyak.

MBPP menerusi Jabatan Pelesenan, sentiasa mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis makanan di bawah kendaliannya mengikut standard ditetapkan. - Bernama

Iklan