ADA berita besar awal-awal tahun baru 2020 apabila Dr Maszlee Malik tiba-tiba memanggil sidang media khas mengumumkan letak jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Bagi sesetengah pihak, itu memang satu kejutan permulaan tahun, lebih-lebih lagi pada hari pertama persekolahan dibuka setelah cuti panjang.
Tetapi bagi sesetengah pihak, itu bukan mengejutkan sangat malah seperti telah dijangka, memandangkan sudah lama ada desas-desus bahawa bekas akademia itu mungkin digugurkan daripada Kabinet.
Sejak memegang portfolio penting itu 20 bulan lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dikaitkan dengan berbagai kontroversi, termasuk paling hangat isu tulisan jawi.
Ada spekulasi mengatakan bahawa Maszlee bukan orang pertama; mungkin ada beberapa lagi menteri dan timbalan menteri akan dikeluarkan
daripada Kabinet memandangkan rekod dan prestasi tidak cemerlang.
Dalam orang bertanya, siapa pengganti Maszlee, ramai juga orang termasuk dalam kalangan menteri dan timbalan menteri sendiri bertanya, siapa akan dibuang selepas Maszlee?
Maka sesiapa yang berasa prestasi tidak berapa baik, banyak pula kontroversi dan ada macam-macam tuduhan salah laku, ada baiknya bersiap dan mengemas barang yang perlu.
SEPERTI biasa, tahun baru ada berita baik, ada juga berita tidak baik. Mula-mula berita tidak baik: Seperti diumumkan, kerajaan bercadang memansuhkan elaun bulanan RM750 bagi perkhidmatan kritikal.
Berita baik: Semua menteri akan mendapat kereta rasmi baru jenis Toyota Vellfire bagi menggantikan kenderaan sekarang jenis Proton Perdana dan Toyota Camry.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat Jemaah Menteri akan datang akan menentukan kelulusan kontrak untuk kenderaan rasmi kerajaan melibatkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai tinggi kerajaan.
Maka yang akan hilang elaun RM750 tentu sekali bermuram durja; yang dapat kereta baru lagi besar, gembira tidak terkira!
HARI pertama 2020 juga menyaksikan lebih 160 perokok dan pemilik restoran di seluruh negara dikompaun kerana mengingkari larangan merokok yang mula dikuatkuasakan sepenuhnya.Mereka dikenakan denda RM250 kerana menyedut dan menghembuskan asap tembakau di tempat makan.
Mereka memberi alasan tidak mengetahui peraturan yang mula berkuat kuasa tahun baru. Alasan itu tidak dapat diterima sebab kerajaan telah menangguhkan peraturan berkenaan selama setahun.Sepatutnya larangan merokok di tempat makan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2019, tetapi ditangguhkan 1 Januari 2020.
Kali ini kerajaan perlu tegas. Jangan tangguhkan lagi peraturan larangan merokok di tempat makan. Pastikan restoran dan gerai-gerai makan seluruh negara betul-betul bebas asap.
SETELAH lebih seminggu Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan sumpah laknat, barulah ada tokoh agama berani mengatakan kaedah itu tidak ada dalam Islam.
Mula-mula Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad menjelaskan sumpah laknat hanyalah yang melibatkan kes tuduhan zina antara suami dan isteri.
Dua hari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dalam satu ceramah di Kota Kinabalu pun menegaskan perkara sama seperti Datuk Mufti Wilayah.
Ada pun sumpah laknat Najib di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada 20 Disember itu bukan atas isu zina suami-isteri.
Seperti semua orang dimaklumkan, bekas Perdana Menteri itu bersumpah laknat untuk menafikan dakwaan terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Baik mufti atau tuan guru – juga para ulama lain – sepatutnya berani menegur dan menasihatkan Najib lebih awal sebelum sumpah itu dibuat.
Sekarang sumpah telah dibuat dan publisiti telah tersebar seluruh dunia, maka nasihat pun tidak bererti lagi, kecuali sekiranya Najib berhasrat menarik balik sumpah laknat tersebut...
AKHIR kalam, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membangkitkan bidang kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menentukan pembelajaran jawi di sekolah vernakular.
"Siapa lebih berkuasa? Kementerian Pendidikan atau PIBG?” soal baginda di Twitter.
- TOK PERAK