'Bantu turun kos operasi dulu'

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai peniaga di pulau caj makanan tinggi. Gambar kecil: Sri Ganesh

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memainkan peranan dalam membantu menurunkan kos operasi di kawasan pelancongan di negara ini terutama di pulau peranginan bagi menangani isu harga makanan tinggi.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pelancongan Malaysia (MTF), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pihak berkuasa juga harus lebih adil terhadap pengusaha makanan serta mengharapkan pengguna bertindak bijak dengan membuat pilihan berdasarkan kemampuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan isu harga makanan mahal berlaku di pulau tidak dapat dielakkan kerana kos operasi tinggi berbanding di kawasan lain.

"Kita perlu faham kos logistik yang ditanggung pengusaha makanan mahal kerana kebanyakan bahan makanan dibawa dari darat ke pulau. Selain itu, ia juga bergantung kepada situasi persekitaran seperti tempat sewaan.

Iklan

"Mereka juga tertakluk kepada kenaikan gaji minimum dan terpaksa menawarkan gaji tinggi untuk menarik orang bekerja di pulau. Kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam ke lapan peratus juga meningkatkan harga barangan.

"Semua ini melibatkan rantaian. Saya lihat apa yang boleh dibuat adalah kerajaan bantu dalam menangani kenaikan kos operasi, baru boleh sebut pasal jangan jual makanan dengan harga yang mahal,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyelesaian dalam menangani harga makanan mahal di pusat pelancongan sehingga menyebabkan sebilangan rakyat memilih untuk tidak melancong dalam negara.

Tambah Sri Ganesh, pihak berkuasa juga harus memainkan peranan dengan betul dan adil.

"Maksudnya mereka harus lihat semua faktor, kenapa pengusaha menaikkan harga makanan atau harga makanan itu mahal. Kita kena tahu sebabnya, mungkin kerana sewa mahal umpamanya,” jelas beliau.

Pada masa sama, bagi mengelakkan tertipu atau teraniaya, beliau mencadangkan pengguna membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sekiranya harga makanan yang dibeli tidak masuk akal.

"Setiap kali ingin membeli atau makan di kedai, amalkan untuk lihat dan bertanya harga makanan.

"Jika harganya tinggi dan melebihi peruntukan, jadi pengguna bijak dengan elakkan beli dan pergi ke tempat lain yang harganya lebih murah,” katanya.