KETIKA umat Islam sibuk bercakap tentang kempen solat Subuh macam solat Jumaat, tiba-tiba ada masjid dan surau dibakar di Batu Pahat, Johor.
Merak Jalanan terkejut kerana surau di Sri Medan itu terbakar selang beberapa hari selepas Masjid Kampung Parit Simis mengalami nasib sama dipercayai angkara perbuatan khianat.
Habis musnah permaidani, perabot dan pendingin hawa di masjid tersebut. Kerugian lebih RM150,000.
Merak Jalanan terfikir kegilaan apa agaknya hingga tergamak membakar rumah Allah? Lebih-lebih lagi tidak sampai dua bulan lagi kita akan menyambut Ramadan, bulan di mana masjid dan surau selalunya dipenuhi jemaah.
Ada yang kata ini perbuatan individu tidak siuman atau angkara penagih dadah. Yelah, ini bukan kali pertama kes sanggup bakar rumah ibadah atau bakar rumah sendiri.
Disember lalu, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah ditahan selepas membakar rumahnya sendiri di Kampung Baru Jelapang, Ipoh, Perak.
Pada September lepas pula, seorang anak membakar rumah sendiri tanpa apa-apa sebab di Dungun, Terengganu.
Tidak lama dulu juga, seorang duda naik angin lalu membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Yan, Kedah gara-gara lambat diberikan pemetik api.
Apa pun motif dan puncanya, eloklah kita serahkan kepada pihak polis. Kita yakin polis lebih cekap buat kerja.
Dalam kes rumah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilontar molotov cocktail baru-baru ini, suspek dapat ditangkap dua hari kemudian.
Bagi pihak masjid dan surau di negara ini, sudah tiba masa mereka memasang CCTV bagi tujuan keselamatan.
Sebelum ini pernah dibangkitkan isu masjid dan surau ada yang simpan duit kutipan orang ramai sehingga RM1 juta tetapi tidak dibelanjakan.
Merak Jalanan harap isu itu tidak lagi menjadi buah mulut. Ramadan pun tidak lama lagi, kita tidak mahu fokus orang ramai untuk beribadah terganggu akibat insiden kebakaran itu.